Kuala Terengganu: Jabatan Taman Laut Negeri (JTLN) menafikan dakwaan terdapat gangguan jerung di kawasan Taman Laut Pulau Kapas, Marang susulan penyebaran gambar jerung spesis bull shark yang dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam.
Pengarah JTLN Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, berita itu tidak tepat kerana jerung terbabit ditangkap nelayan di luar kawasan Taman Laut Pulau Kapas iaitu melebihi satu batu nautika dari perairan berkenaan.
"Sebaik mendapat laporan itu, saya meminta pegawai menyiasat perkara ini dan mendapati nelayan menangkap jerung itu di luar kawasan Taman Laut Pulau Kapas sebelum dinaikkan bersama hasil tangkapan lain di Jeti LKIM Marang.
"Ada yang mengambil gambar jerung itu dan ia disebarkan sebelum menjadi tular dengan menyatakan ikan itu ditangkap di kawasan Taman Laut Pulau Kapas sehingga menimbulkan ketakutan penduduk kawasan setempat.
"Setakat ini, tiada rekod mengenai gangguan jerung bukan saja di Pulau Kapas malah di perairan negeri ini dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan berita yang tular itu.
“Bagaimanapun, kita sentiasa melakukan pemantauan dan mengingatkan semua pihak supaya tidak memberi ikan makan kerana ia boleh merangsang spesis itu apabila melihat ikan berkumpul dan bau darah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sumber : NST
No comments:
Post a Comment