Friday, March 10, 2017

Lelaki Ditemui Mati Ditembak Di Bandar Tun Hussein Onn



Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan berkata mangsa yang berumur 39 tahun ditemui terbaring di tingkat tiga rumah itu kira-kira 3 pagi.

KUALA LUMPUR, 10 Mac 2017; Seorang lelaki ditemui mati dengan satu kesan tembakan di dahi di sebuah rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan berkata mangsa yang berumur 39 tahun ditemui terbaring di tingkat tiga rumah itu kira-kira 3 pagi.

Siasatan polis mendapati sebelum itu mangsa tiba di rumah tersebut kira-kira
tengah malam untuk berbincang bersama 11 individu lain termasuk pemilik rumah berkenaan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya rakan mangsa melaporkan bahawa mereka terdengar bunyi letupan di tingkat atas rumah itu dan kemudian mendapati mangsa terbaring berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala bersama sepucuk revolver di tangannya.


"Hasil siasatan pasukan forensik polis Selangor dan Pakar Forensik Patologi Hospital Serdang mengesahkan terdapat keraguan dalam kematian si mati yang dikatakan membunuh diri," katanya.
Othman berkata berkata berikutan kejadian itu, 11 lelaki yang berada di rumah itu kini ditahan bagi membantu siasatan termasuk diminta menjalani ujian sisa tembakan pihak forensik.

Menurutnya polis turut menahan dua wanita iaitu isteri kepada pemilik rumah berkenaan dan pembantu rumahnya bagi siasatan lanjut.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 30 hingga 59 tahun manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya.

Othman berkata polis turut merampas pistol berkenaan dan dihantar ke pasukan forensik untuk ujian balistik.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian,' katanya. -- Bernama

No comments:

Post a Comment