Wednesday, August 2, 2017

Selamatkah Memandu Dengan Tayar Donat?

APABILA salah satu daripada tayar kereta anda pancit, anda perlu menukarkannya dengan tayar donat atau lebih kerap disebut tayar ganti atau tayar spare.
Dari segi terma, tayar donat ialah tayar kecil yang memang disediakan khas untuk digunakan sementara waktu sebelum ke bengkel jika tayar kereta anda pancit. Tayar ganti pula sepatutnya merujuk kepada tayar yang bersaiz sama dengan tayar asal kereta anda - seperti tayar ganti yang dilekatkan di belakang but kereta pacuan empat roda seperti Perodua Kembara atau Jeep Wrangler. Tetapi kebanyakan kita lebih gemar merujuk tayar pengganti tayar pancit sebagai tayar ganti atau tayar spare. Masih lagi terma sama walaupun kurang tepat.


Tayar donat berperanan menggantikan sementara tayar kereta pancit supaya anda dapat memandu ke mana-mana bengkel berdekatan untuk menampal atau menukar tayar baharu secepat mungkin. Tayar jenis ini bersaiz kecil bagi memudahkan ia disimpan di dalam kenderaan, kebiasaannya diletakkan di bawah pelapik atau lantai bawah but. Ia sengaja direka kecil supaya dapat menjimatkan ruang dan mengurangkan berat kereta.
Banyak manual pengguna menyarankan perbatuan tertentu untuk tayar donat, iaitu purata 80km dan 113km. Jika anda memandu dengan tayar donat, adalah baik sekiranya anda cepat menggantikan semula tayar asal secepat mungkin. Berikut ialah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian apabila memandu dengan tayar donat:


1. PEMBREKAN, PENGENDALIAN DAN PEMBELOKAN TERJEJAS
Tayar donat menjejaskan karakteristik pembrekan, pengendalian dan pembelokan sesebuah kenderaan. Disebabkan saiz yang lebih kecil berbanding tayar tradisional, kualiti membrek dan mengawal kereta akan merosot. Kereta juga cenderung senget apabila menggunakan tayar donat dan situasi berkenaan sedikit sebanyak mengingatkan anda supaya segera menggantikan tayar pancit.
2. PANDU PERLAHAN
Tayar donat bukan dibuat untuk memandu laju seperti tayar konvensional. Disebabkan saiz yang lebih kompak, anda dinasihatkan tidak memandu melebihi kelajuan 80kmj. Justeru anda sepatutnya memandu di laluan paling kiri apabila menggunakan tayar donat. sebagai langkah keselamatan.




3. PERIKSA TEKANAN ANGIN TAYAR DONAT
Tekanan angin yang selamat disarankan untuk tayar donat ialah 60 paun inci persegi (PSI). Disebabkan tayar donat lebih kerap berdiam diri dalam but kereta, adalah baik memeriksa angin terlebih dahulu sebelum menyimpan semula tayar itu ke dalam kereta.
4. SISTEM KESELAMATAN TIDAK BEROPERASI CEKAP
Seperkara lagi yang perlu diingatkan apabila memandu dengan tayar donat ialah ciri kawalan stabiliti elektronik (ESC) dan sistem kawalan traksi (TRS) tidak dapat bekerja dengan cekap. Sebaik saja ditukar baharu atau bersaiz asal, barulah kedua-dua sistem itu akan bekerja seperti biasa dan anda boleh memandu seperti sedia kala.
Sebaliknya, apabila menggunakan tayar donat, jangan terlalu terburu-buru mahu ke kedai tayar dengan cuba memandu laju. Cuba bertenang dan ambil masa walaupun perlahan kerana keselamatan diri lebih utama. Tetapi bukanlah bertenang sampai memandu menggunakan tayar donat berhari-hari lamanya.
Memandu dengan tayar donat hanya boleh dilakukan apabila situasi benar-benar memerlukan. Sila periksa manual pengguna untuk mengetahui lebih lanjut tentang tayar donat. Sekali lagi diingatkan, jangan memandu melebihi 80kmj ok!

No comments:

Post a Comment